Siasat jika gaya hidup warga pendidik melebihi pendapatan- DATUK Maimunah Suhaibul

Assalamualaikum


KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa saja warga jabatan dan pentadbir sekolah jika gaya hidup mereka dilihat melebihi pendapatan.Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan SPRM menerima banyak aduan membabitkan warga kerja jabatan itu, termasuk di peringkat sekolah.
Katanya, maklumat itu diterima susulan kunjungan hormat Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ke JPNS di sini, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak termasuk pengetua dan guru besar agar tidak menyalahgunakan kuasa kerana ia membabitkan integriti warga pendidik.
"Saya turut diberitahu ada warga di jabatan ini bersubahat memberi perkhidmatan membekalkan barangan keperluan sekolah dalam kalangan ahli keluarga tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.
"Sehubungan itu, saya juga akan meminta warga pendidik melakukan pengisytiharan harta masing-masing," katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Awal Tahun 2017 di Kompleks Kerajaan Persekutuan Sabah di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, Maimunah berkata, Jabatan Pendidikan negeri akan menempatkan 231 guru lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berasal dari Sabah di sekolah rendah seluruh negeri secara interim pada 16 Januari ini bagi memenuhi kekosongan guru, terutama di Lahad Datu, Kinabatangan dan Telupid.
"Jumlah ini adalah sebahagian daripada 485 guru keluaran IPGM dan mereka dilantik mengikut keperluan opsyen seperti Bahasa Arab, Cina, Pendidikan Islam, Prasekolah, Pendidikan Khas dan Bahasa Inggeris. Manakala baki guru IPGM yang belum dilantik akan ditempatkan di sekolah rendah pada sesi lantikan seterusnya mengikut kekosongan," katanya.


0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.