Muhammad Al-Zawari, pembuat dron Ababil Al-Qassam ditakuti Israel

Assalamualaikum


MUHAMMAD AL-ZAWARI, seorang jurutera penerbangan dan pereka cipta berasal dari Tunisia.
Beliau belajar dan mengkaji ilmu kejuruteraan seterusnya menjadi juruterbang.
Setelah menetap di beberapa buah negara Arab dalam tempoh yang lama, beliau kemudiannya kembali ke tanah air ketika peristiwa Revolusi 2011 yang menyaksikan kejatuhan diktator Ben Ali.
Tidak lama selepas itu, beliau menyertai Briged Izzuddin Al-Qassam dan diserapkan dalam pasukan pembuat pesawat tanpa pemandu (dron).
Sejak itu, beliau tersenarai di kalangan mereka yang paling dikehendaki oleh Israel.
KELAHIRAN
Muhammad Al-Zawari dilahirkan pada tahun 1967 di Sfax, sebuah bandar di tenggara Tunisia.
PENDIDIKAN
Selepas menamatkan pengajian sekolah menengah, beliau menyambung pengajian di kolej kejuruteraan kebangsaan di Sfax.
Selepas kembali ke Tunisia pada 2011, beliau menyambung pengajian peringkat PhD di kolej yang sama dan penulisan tesisnya berkaitan penciptaan pesawat tanpa pemandu (dron).
KERJAYA
Al-Zawari bekerja sebagai jurutera di sebuah negara Arab. Setelah kembali ke Tunisia, beliau memegang jawatan sebagai pengurus di sebuah syarikat kejuruteraan mekanikal dan menjadi pensyarah di kolej kejuruteraan kebangsaan.
Ada sumber lain memberitahu bahawa beliau juga seorang juruterbang di syarikat penerbangan Tunisia.
JALAN HIDUP
Zaman mudanya disibukkan dengan menyertai gerakan pelajar Islam Tunisia yang kemudiannya bertukar nama menjadi Harakah Nahdah.
Al-Zawari adalah salah seorang aktivis “Kesatuan Pelajar Tunisia” dan keterlibatannya yang aktif dalam bidang politik menjadikannya antara yang dipantau oleh pihak keselamatan di bawah pimpinan bekas presiden yang ditumbangkan, Ben Ali.
Beliau pernah ditangkap ketika berlaku peristiwa berdarah oleh pasukan keselamatan di beberapa buah universiti pada 8 Mei 1991.
Segala aktiviti Kesatuan Pelajar Tunisia dibekukan oleh kerajaan.
Selepas dibebaskan, beliau berpindah antara Libya, Sudan dan Syria. Beliau berkahwin dengan wanita Syria pilihannya pada 2008.
Al-Zawari kembali ke tanah air setelah 20 tahun merantau di negara orang dan ketika itu rejim presiden diktator tumbang kerana arus revolusi rakyat pada 14 Januari 2011.
Ketika menetap di Syria, Al-Zawari menyertai Hamas dan bekerjasama dengan Briged Izzuddin Al-Qassam untuk menyumbangkan kepakarannya menjayakan projek pembangunan pesawat tanpa pemandu (dron).

PENGIKTIRAFAN AL-QASSAM
Ketika berita pembunuhannya tersebar pada 17 Disember 2016, Al-Qassam mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang mendedahkan siapakah Al-Zawari yang sebenar.
Menurut Al-Qassam, Al-Zawari telah menyertai mereka sejak 10 tahun lalu dan merupakan seorang pemimpin yang mengendalikan projek penting dron Al-Qassam yang dipanggil ‘Ababil’.
Dron Ababil telah memainkan peranan besar dalam peperangan Al-‘Asful Ma’kul menentang Israel pada tahun 2014.
Al-Qassam menuduh Israel bertanggungjawab di atas pembunuhan As-Syahid Al-Muhandis Al-Qaid Muhammad Al-Zawari dan berjanji akan membalas dendam.
Ini adalah kali pertama Al-Qassam membuat kenyataan mengiktiraf kepakaran orang Arab yang bukan berasal dari Palestin.
Pada masa sama, media Israel juga melaporkan bahawa Al-Zawari memainkan peranan penting dalam membangunkan kemampuan ketenteraan Hamas.
Sebuah saluran televisyen dan portal berita Israel berbahasa Ibri, melaporkan bahawa beliau telah menyertai banyak kem latihan Hamas di Syria dan Lubnan.
Media Israel juga menyebut bahawa jurutera yang ditakuti itu telah memasuki Gaza sebanyak tiga kali melalui terowong bawah tanah dan telah menyampaikan maklumat-maklumat penting kepada Hamas mengenai projek ketenteraan Al-Qassam terutamanya dron Ababil yang menjadi bukti kehebatannya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
PERGINYA SEORANG SYAHID
Muhammad Al-Zawari dibunuh pada 15 Disember 2016 disebabkan 20 tembakan oleh dua individu tidak dikenali menggunakan dua pistol yang dipasang alat peredam senapan angin (silencer).
Al-Zawari ketika itu dalam keretanya di hadapan rumah di Sfax, Tunisia.
Lima peluru hingga di kepala manakala tiga lagi di badan.
Pihak berkuasa Tunisia kemudiannya menangkap lima individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Sementara itu, parti Nahdah mendesak pasukan keselamatan menangkap dua penjenayah berkenaan kerana kejadian itu mengancam keamanan negara.
Hamas dan kenalan rapat Al-Zawari menuduh Israel dan perisiknya Mossad sebagai pembunuh sebenar berikutan peranan besar yang dimainkan Al-Zawari dalam membangunkan kekuatan teknologi Hamas.
Seorang penganalisis ketenteraan Israel, Orn Hiler berkata, Israel takut tindakan-tindakan yang akan dilakukan Al-Zawari pada masa akan datang.
“Usaha Hamas meminta bantuannya dalam mencipta dron yang boleh membawa bom menyerang Israel adalah antara punca pembunuhannya,” katanya kepada Saluran 10 televisyen Israel.
Artikel ini telah diterjemah oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin. Artikel asal berbahasa Arab telah disiarkan di Aljazeera.net pada 18 Disember 2016.


0 comment... add one now

Note: only a member of this blog may post a comment.